KUALA LUMPUR – Gandingan beregu lelaki negara Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Yap Roy King semakin hampir untuk meraih gelaran sulung selepas mara ke final Kejohanan Badminton Masters Sepanyol 2024, pada Sabtu.
Pasangan nombor 65 dunia itu yang bergandingan sejak Mac tahun lalu, mempamerkan aksi cemerlang apabila mengejutkan gandingan adik-beradik Popov, Christo-Toma Junior dari Perancis yang menduduki ranking ke-45 dunia dengan 21-17, 21-17 pada perlawanan peringkat separuh akhir acara Super 300 yang berlangsung di Centro Deportivo Municipal Gallur.
Pada pentas final, Wan Muhammad Arif dan Roy King akan berdepan gandingan Indonesia Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Sementara itu, Sabar-Moh Reza terpaksa menghempas pulas sebelum menewaskan William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dari Denmark, 21-15, 16-21, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Perlawanan akhir hari ini memberi peluang besar kepada gandingan Malaysia untuk membalas dendam kekalahan di peringkat separuh akhir di tangan beregu naib juara Orleans Masters 2024 pada Masters Indonesia 2023, 13-21, 19-21, September lepas. – Bernama