KUALA LUMPUR – Seramai 8.4 juta rakyat bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 mulai 3 April ini melibatkan bayaran antara RM100 hingga RM650.
Kerajaan turut menambah peruntukan program subsidi bersasar STR sebanyak 20% kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion tahun lepas.
Kementerian Kewangan berkata, Perdana Menteri yang juga merangkap sebagai Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan ini bertujuan untuk membantu golongan B40 dan M40 bekeperluan untuk menangani peningkatan kos sara hidup.
“Kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat, sejajar dengan penambahbaikan fizikal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan memerlukan.
“Penerima sedia ada dan baharu yang berdaftar akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori dan kelayakan STR,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kerajaan telah mengambil pendekatan baharu tahun ini untuk membuka pendaftaran STR sepanjang tahun untuk memberi lebih banyak peluang kepada orang ramai untuk menerima manfaat daripada bantuan Kerajaan selain meningkatkan pendaftaran bilangan penerima.
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan untuk membolehkan proses verifikasi mengikut kelayakan yang dimuktamadkan.
“Kementerian Kewangan juga ingin menasihati penerima STR agar berhati-hati sekiranya menerima pautan yang tidak sahih diedarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat berkaitan program STR,” ujarnya. – MalaysiaGazette