KUCHING – AirAsia menyambung semula laluan antara Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu dalam usaha untuk menguatkan lagi komitmen perkhidmatan di Sabah dan Sarawak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, penyambungan semula destinasi ini bagi memenuhi peningkatan permintaan perjalanan antara Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan pelancongan negara.
“Penyambungan semula ini diharapkan dapat menerbangkan lebih ramai pelanggan pada laluan-laluan ini, selain memperluas rangkaian domestik pada masa hadapan,” katanya.
Pendaratan Kapal AK5432 dari Pulau Pinang itu semalam disambut Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Sarawak, Nurul Ain Mohammed Yunus bersama-sama AirAsia.
“Penyambungan semula laluan ini membuka peluang untuk kami menarik lebih ramai pelancong dan mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia,” jelas Nurul Ain.
Pesawat berkenaan terbang dengan kapasiti melebihi 80 peratus, menandakan potensi pertumbuhan masa depan yang kukuh antara laluan ini. – MalaysiaGazette