Chee Yee (tengah) menunjukkan surat aduan dan laporan daripada mangsa.

MELAKA – Impian 21 individu untuk menunaikan umrah bukan sahaja tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung kerugian RM100,000 selepas mendakwa ditipu syarikat pengendali umrah.

Mangsa, Mastura Ab Ghani,59, berkata, dia lima beranak tidak menyangka menjadi mangsa penipuan kerana baru sahaja menggunakan khidmat syarikat sama ke tanah suci Mekah Ogos tahun lalu.

“Jadi saya yakin syarikat ini tiada masalah untuk membawa menunaikan umrah kali kedua bersama tiga orang anak menerusi pakej almuni dengan bayaran RM6,550 seorang.

“Setelah melangsaikan bayaran keseluruhan berjumlah RM31,250, sepatutnya kami dijanjikan akan ke tanah suci pada 13 Februari lalu namun sehingga kini mereka terus memberi pelbagai alasan,” katanya.

Terdahulu, penjawat awam itu membuat aduan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee di Kompleks JAPERUN Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mastura menambah, lebih menyedihkan wang bayaran penuh yang dibuat sejak tahun lalu juga sehingga kini belum dikembalikan dan wakil syarikat terbabit yang berpejabat di Cheng juga gagal dihubungi.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Shuhada Mokhtar,42, berkata, dia sedih apabila impiannya dan suami untuk membawa ibu bapa semakin uzur mengerjakan umrah berkecai selepas diperdaya syarikat sama.

“Bertahun-tahun saya dan suami yang bekerja sendiri menyimpan wang sehingga cukup RM59,000 namun lesap sekelip mata.

“Kami telah membuat laporan polis dan memfailkan kes kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia untuk mendapat pembelaan,” katanya.

Sementara itu, Chee Yee berjanji untuk membantu kesemua mangsa mendapat keadilan dan berharap kerajaan dapat mengambil tindakan tegas terhadap syarikat terbabit.

“Kita juga berterima kasih kepada mereka yang berani tampil mengadukan hal ini untuk memberi peringatan supaya tiada lagi individu lain yang akan menjadi mangsa,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast