SERDANG – “Beberapa saat sebelum dipukul kepala air, isteri mahu meneruskan menjala ikan semasa hujan lebat sebelum dihanyutkan arus deras kepala air bersama tiga anak”.
Itu luahan Ahmad Suriady, 40, dalam suara mengeletar selepas penemuan mayat isterinya berusia 38 tahun itu tengah hari tadi pada jarak 10 kilometer dari lokasi asal kejadian di sungai terletak di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, di sini, hari ini.
Ahmad Suriady berkata, semasa dihanyutkan arus deras itu, dia hanya sempat melihat tangan isterinya terkapai-kapai dibawa arus kepala air.
“Saat tangan isteri aku terkapai sementara anak lain jerit kuat minta diselamatkan masih terngiang-ngiang dalam ingatan aku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Ahmad Suriady yang merupakan kontraktor warga Indonesia tinggal bersama isterinya di sini sejak 2013 menambah, semalam merupakan kali pertama dia menjala ikan di lokasi sungai itu bersama keluarganya.
“Kami keluar dari rumah di Pinggiran Putra pada pukul 3 petang dan menjala ikan di sungai itu sekeluarga.
“Kami mendapat banyak anak ikan sebelum mengajak isteri berkemas untuk pulang ke rumah bersama anak tetapi dia minta saya teruskan menjala sebelum dipukul arus deras secara tiba-tiba dan semuanya berlaku dalam sekelip mata.
“Saya menjerit sekuat yang boleh meminta mereka menyelamatkan diri namun ada antara mereka tergelincir jatuh ke sungai dan dihanyutkan bersama arus deras itu.
“Semasa saya cuba menyelamatkan ahli keluarga, saya juga tergelincir jatuh dan dibawa arus sebelum berjaya berpaut pada dahan pokok dan menjerit nama isteri dan anak saya, sedihnya saya hanya nampak tangan mereka terkapai-kapai dalam arus deras itu sebelum hilang dihanyutkan sungai,” ujarnya lagi.
Sambung Ahmad Suriady lagi , kejadian tragis itu telah mengorbankan isteri dan dua anaknya manakala seorang lagi anak perempuan bongsunya berusia 4 tahun masih hilang dan usaha mencari masih dijalankan. – MalaysiaGazette