BATU PAHAT – Seorang penunggang motosikal meninggal dunia akibat cedera parah selepas melanggar sebuah kereta di Lebuhraya Utara Selatan petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Musshaddat Abdullah berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa yang sedang menunggang di lorong kecemasan dari Ayer Hitam ke Pagoh dan merempuh sebuah kereta yang sedang berhenti di lorong berkenaan untuk menjawab panggilan telefon.
Mangsa dikenalpasti sebagai Mohammad Fared Zakaria, 35, beralamat di Taman Sri Kluang, Johor disahkan meninggal dunia semasa dalam rawatan di Hospital Sultanah Fatimah Muar pada jam lebih kurang 7.50 malam.
Bagaimanapun pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.
Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini tampil membantu siasatan polis melalui mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999.- MalaysiaGazette