KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan mewah jenis Range Rover SV Auto dirampas  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di Kompleks Maskargo, Sepang di sini pada Isnin lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pemeriksaan pegawai kastam mendapati kenderaan terpakai itu dipercayai telah diimport dari sebuah negara Eropah tanpa permit import (AP) daripada Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI).

Katanya, kenderaan itu merupakan barangan larangan import bersyarat kecuali dengan satu lesen atau permit sebagaimana yang ditetapkan di Bahagian 1, Jadual Kedua, Butiran Nombor 3(2), Perintah Kastam (Larangan mengenai import) 2023.

“Nilai dagangan kenderaan yang disita ini adalah dianggarkan RM2.9 juta termasuk nilai duti dan cukai,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Kastam KLIA di sini pada hari ini.

Tambah beliau, kenderaan tanpa permit AP itu kini telah disita dan dibawa ke Pejabat Penguat kuasa KLIA untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang.

Katanya, siasatan masih dijalankan oleh pihak kastam termasuk mengesan dalang terlibat dalam urusan mengimport kenderaan itu dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast