KUANTAN – Sungai Belat di Kuantan merupakan salah satu habitat buaya, kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin.
Malah Perhilitan telah meletakkan panpan tanda memaklumkan “Bahaya Kawasan Habitat Buaya” sebagai syarat jelas dan peringatan kepada masyarakat mengenai habitat sang bedal itu.
Katanya, papan tanda itu juga telah diletakkan di beberapa kawasan bagi memberi peringatan kepada masyarakat.
“Sungai Belat memang habitat buaya. Begitu juga di kawasan Sungai Kuantan dan semua anak sungai yang agak luas, akan ada buayalah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Justeru beliau mengingatkan agar masyarakat lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika di kawasan reptilia berkenaan.
Rozidan turut menasihati agar tidak mengganggu kawasan buaya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Jadi, masyarakat sudah tahu persekitaran disitu, cuma kena jaga diri, hindarkan dari kawasan itu terutama di kawasan lubuk yang menjadi sarang buaya,” ujarnya
“Bila kita masuk ke sungai kena faham apa yang ada berada situ. Bagaimana haiwan ini berinteraksi untuk menunjukkan ia tidak suka dengan kehadiran kita,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan kejadian seorang lelaki ditemukan lemas di Bukit Rangin pada 23 Mac lalu ada kaitan dengan gigitan reptilia tersebut. – MalaysiaGazette