KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima dividen sebanyak RM8 juta daripada UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB).
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, amaun dividen itu merupakan angka tertinggi sejak penubuhan syarikat tersebut.
“Angka tersebut memberangsangkan jika dibandingkan dividen yang diterima UTeM pada tahun sebelumnya sebanyak RM5 juta dan sebelum itu RM2.9 juta,” katanya.
Penyerahan replika cek itu disampaikan sendiri oleh Prof Ts Dr Ghazali Omar yang menjalankan sementara tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UHSB, disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri dan juga Canselor UTeM, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Pada majlis yang sama, seramai 50 orang Mahasiswa UTeM telah menerima sumbangan sebanyak RM16,000 menerusi Tabung Amal Jariah UTeM hasil sumbangan warga UTeM serta pihak luar.
Menurutnya, pada tahun ini juga, jumlah sumbangan yang telah diterima bagi penganjuran program sepanjang bulan Ramadan ini berjumlah RM344,000.00 dan penyumbang utama adalah Yayasan Canselor UTeM dan UTeM Holdings.
Tambah beliau, UTeM turut mengambil berat kebajikan pelajar terutama dari segi biasiswa yang mana sehingga kini seramai 732 orang pelajar menerima biasiswa daripada 29 agensi.
“Ini termasuk biasiswa dalaman seperti Program Anak Emas yang mana 6 orang pelajar telah menerima bantuan dengan jumlah RM99,000.00 dan Program Sulung dengan 133 orang penerima berjumlah RM1.2 juta,” katanya. MalaysiaGazette