KUALA LUMPUR – Polis menganggap alasan suspek tahanan warga Israel, Avitan Shalom kononnya dia masuk ke Malaysia untuk memburu individu bernama Eran disebabkan persaingan keluarga mafia mungkin sekadar isu yang sengaja dicipta bagi mengalihkan tumpuan siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, keutamaan pihaknya ketika ini untuk menentukan motif sebenar pemilikan enam senjata oleh suspek Israel berkenaan.
Beliau mengakui mendapatkan motif utama daripada suspek Israel adalah perkara yang sangat mencabar tetapi polis optimis dapat merungkai ‘ikatan’ itu.
Razarudin secara peribadi menganggap alasan suspek yang mahu mencari hanya seorang individu dengan enam pucuk pistol pelbagai jenis adalah sesuatu yang menimbulkan kesangsian agak munasabah.
“Dan sudah tentunya beban utama kita nombor satu, nak tahu motif utama dia. Ini perlu ditentukan atas faktor keselamatan negara dan ketenteraman awam yang perlu dijamin.
“Saya melihat (faktor) enam senjata api. Pasal tu saya cakap siasatan menyeluruh penting untuk kita.
“Kalau (mungkin) hari raya nak buat kekacauan, kalau tak ditangkap, hari raya dia havoc, tak ke kacau (susah) kita? Itu yang saya nampak dengan (impak) enam senjata api yang dimilikinya.
“Dia (suspek) turun pun pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tak berapa lama lagi. Nasib baik cekapnya anggota dan pegawai kita dari (IPD) Dang Wangi dan Jenayah Berat D9 merisik dan maklumat pihak kita yang akhirnya berjaya menangkap suspek ini,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas perkembangan kes itu di Bukit Aman hari ini.
Terdahulu, Razarudin mengesahkan tangkapan ketiga-tiga suspek itu pada 27 Mac lalu di Jalan Ampang (suspek Israel) dan pasangan tempatan di sebuah Bazar Ramadan di Kuala Selangor.
Ditanya mengenai identiti individu bernama Eran Haya yang kononnya dicari suspek Israel di sini, Razarudin berkata, individu atas nama Eran belum dapat dikenal pasti setakat ini.
“Ini kerana siasatan di peringkat kini sehingga semalam belum mempunyai petunjuk positif terhadap lelaki itu seperti yang didakwa suspek Israel.
“Berdasarkan pengakuan suspek memberitahu mencari seorang lelaki warga Israel bernama Eran atas isu keluarga tapi kita (polis) perlu pengesahan mengenai kewujudan lelaki itu.
“Buat masa ini, kita belum jumpa lagi. Itu alasan dia sebagai motif tapi kita melihat kemungkinan motif berbeza daripada alasan diberikannya dan kemungkinan identiti itu direka oleh suspek,” katanya lagi. – MalaysiaGazette