Prof. Madya Dr. Siti Munirah sedang melakukan pemantauan tindak balas terhadap ikan zebra.

KUALA LUMPUR – Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) mahu menghentikan penggunaan mamalia, termasuk tikus dan mencit, dalam penyelidikan menjelang tahun 2035.

Ia kerana eksperimen saintifik yang melibatkan haiwan adalah mahal, memakan masa, dan menimbulkan kebimbangan etika berhubung dengan kebajikan haiwan.

Oleh hal yang demikian, ikan zebra telah muncul sebagai model haiwan yang berpotensi, sejak dua dekad yang lalu di seluruh dunia, terutama di dalam kajian toksikologi.

Ketua Laboratori Penyelidikan Ubatan dan Produk Semulajadi (NaturMeds) di Institut Biosanis (IBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr. Siti Munirah Mohd Faudzi berkata, ikan zebra mempunyai kesamaan genetik yang besar dengan manusia.

“Ikan zebra mempunyai keunikan seperti kadar pembiakan yang cepat, kebolehan untuk diubahsuai secara genetik, kos yang rendah, dan kemudahan pengendalian yang baik berbanding tikus makmal.

“Kajian telah menunjukkan bahawa otak ikan zebra dan mamalia berkongsi sistem neuroanatomikal dan sistem isyarat neuronik asas yang relevan dengan penyakit otak manusia,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan ikan zebra di dalam kaedah penyaringan inovatif turut berpotensi meningkatkan kejayaan dan produktiviti dalam penyelidikan, penemuan dan pembangunan ubat yang berkaitan dengan penyakit otak.

“Walau bagaimanapun, penggunaan ikan zebra dalam uji kaji perlu diberi pemelihaaran yang baik, kebersihan dan kestabilan persekitaran akuatik, dan pemakanan yang betul,” jelas beliau.

Mengulas berkenaan kekurangan populasi ikan ini, beliau menegaskan bahawa peraturan ketat diperlukan untuk mengawal penggunaan ikan zebra dalam kajian saintifik bagi mengelakkan ancaman terhadap populasi ikan zebra.

Justeru itu, pembiakan ikan zebra di Laboratori Ikan Zebra NaturMeds, IBS, UPM, telah dilaksanakan sejak 2012 untuk meningkatkan populasi ikan tersebut di dalam makmal
bertujuan memberikan kemudahan kepada penyelidik UPM melakukan pelbagai kajian termasuk dalam penemuan dadah, neurosains, dan ekotoksikologi.- MalaysiaGazette.