Anggota bomba membawa keluar mayat terakhir iaitu kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun yang dibawa arus dalam kejadian kepala air di Puchong, Selangor. Foto MALAYSIA GAZETTE, 02 APRIL 2024.

SERDANG – Mayat kanak-kanak perempuan empat tahun yang dikhuatiri mati lemas selepas dihanyutkan arus deras dalam longkang monsun di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan, Ahad lalu ditemui di Tasik Putra Perdana, pagi tadi.

Ketua Zon Petaling Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Syariman Wan Salleh berkata, mayat mangsa terakhir insiden itu ditemui pada jarak 100 meter dari pintu air dan tujuh kilometer dari lokasi kejadian di Kota Perdana.

“Mangsa ditemui hasil pencarian di permukaan air oleh 25 anggota pasukan penyelamat termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula pagi tadi,” katanya di lokasi penemuan mayat.

Tambah Wan Syariman, operasi SAR itu dimulakan pada pukul 7.30 pagi tadi dan fokus pencarian di kawasan pesisir iaitu sekitar Tasik Putra Perdana.

Dengan penemuan mayat itu, operasi selesai jam 10.15 pagi.

“Mayat kanak-kanak perempuan itu kini sudah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk menjalani proses bedah siasat,” ujarnya.

Anak bongsu tiga beradik itu lemas ketika menjala bersama bapa dan ibunya.

Dalam kejadian itu hanya bapa dan seorang abangnya yang berusia sembilan tahun yang selamat.- MalaysiaGazette