Muhammad Rafique Rashid Ali,

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjadi alat dendam politik selagi bidang kuasanya tidak diletak di bawah Parlimen.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, kedudukan dan tata kelolanya akan diperjelas sekiranya diletakkan di bawah Dewan Rakyat.

“SPRM seolah diperkuda bagai alat dendam politik Perdana Menteri. SPRM pula akan sentiasa ditunggang sebegitu rupa selagi mana ianya tidak diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen.

“SPRM juga tidak akan berubah selagi mana Ketua Pesuruhjayanya (Tan Sri Azam Baki ) tidak diletakkan bawah seliaan Dewan Rakyat untuk menjawap isu-isu tatakelolanya sendiri. Ini sahaja cara untuk elak SPRM dijadikan alat politik mana-mana Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menyifatkan suruhanjaya berkenaan dilihat hanya berminat menyiasat individu yang tidak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani.

Katanya, ini kerana hampir semua kes profil tinggi yang disiasat atau diambil tindakan adalah dalam kalangan pengkritik Perdana Menteri.

“Faktanya mudah. Lihat sahaja pada Notis dibawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 dan panggil juga pegawai-pegawai yang mencari maklumat dari anak-anak Tun Dr. Mahathir Mohamad,” tambahnya.

Selain itu beliau mendakwa laporan pihak tertentu terhadap SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula tidak diambil tindakan.

“Laporan-laporan kepada SPRM atau PDRM mengenai individu-individu samada Perdana Menteri atau rakan-rakannya pula seolah tiada tindakan konkrit. Sepi seribu bahasa.

“SPRM seolah diperkuda bagai alat dendam politik Perdana Menteri,” katanya .

Terdahulu, anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad  iaitu Datuk Seri Mukhriz berkata SPRM sedang menyiasat bapanya.

Menurut Presiden Pejuang itu, ia berdasarkan kepada notis yang ditandatangani Azam kepada dua abangnya.

Katanya, notis itu menyebut bahawa siasatan dilakukan terhadap Mahathir.

Katanya, notis turut menyebut kedua-dua abang Mukhriz akan diarah untuk pengisytiharan harta bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette