Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan penyelenggaraan jalan raya di negara ini.

Menurut KKR, penglibatan ketiga-tiga kementerian itu penting kerana mempunyai bidang kuasa yang berkait selain penyelesaian masalah jalan yang memerlukan sinergi padu untuk diatasi.

“Dalam libat urus itu (diadakan semalam), mereka telah membincangkan mekanisme terbaik untuk menangani isu kerosakan jalan raya yang terkait di bawah bidang kuasa kementerian masing-masing.

“Mekanisme ini seterusnya akan diteliti sebelum tindakan strategik dilaksanakan di bawah payung Program MYJalan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerjaan Tempatan, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu serta pengurusan tertinggi ketiga-ketiga kementerian terlibat menghadiri libat urus itu.

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, aplikasi MYJalan telah menerima 13,391 aduan pelbagai isu jalan raya dan statistik menunjukkan 26.51% aduan milik JKR manakala selebihnya milik pihak lain.

Justeru itu, libat urus itu amat signifikan untuk memastikan aduan pengguna dapat diselesaikan demi keselesaan dan keselamatan pemanduan rakyat.

“Hasil perbincangan terarah kepada cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa bertindak yang terdiri daripada wakil pemilik jalan raya melaporkan status tindakan penyelesaian bagi aduan secara berkala.

“Jawatankuasa ini juga akan meneliti setiap cadangan, isu dan cabaran yang diterima sepanjang kolaborasi ini,” tambahnya.

Katanya, sinergi pelbagai pihak adalah bukti komitmen KKR untuk memperkasakan dan merakyatkan Program MYJalan sebagai satu agenda bersama di peringkat nasional. – MalaysiaGazette