Peserta dibawa meninjau fasiliti di FSMP.

KOTA KINABALU – Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bekerjasama dengan Jabatan Dietik dan Sajian Hospital Negeri Sabah dalam berkongsi kepakaran untuk memperkasa hidangan makanan pesakit disfagia.

Pensyarah Program Perkhidmatan Makanan FSMP, Dr. Aizul Azri Azizan berkata, disfagia adalah satu keadaan pesakit sukar menelan makanan akibat faktor seperti penuaan, strok dan kanser yang berlaku dalam kalangan warga emas di negara ini.

“Malaysia menjadi negara berisiko dengan keadaan disfagia kerana jangkaan jumlah penduduk menjelang tahun 2056 adalah 20 peratus terdiri daripada warga tua.

“Justeru, kerjasama ini diharap dapat memperkasakan menu disfagia berpandukan kerangka kerja International Dysphagia Diet Standardization Initiatives (IDDSI), iaitu panduan penyediaan dengan kaedah pengujian yang digunakan banyak negara di dunia untuk menguruskan penyakit disfagia.

“Ini memastikan menu di hospital selari dengan intervensi dan preskripsi klinikal yang diberikan dari penilaian oleh pakar perubatan dan pakar pemulihan pertuturan (speech therapist),” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Aizul, pelaksanaan IDDSI belum pernah lagi dilaksanakan di mana-mana fasili kesihatan di Malaysia.

“Justeru, FSMP UMP amat berbesar hati untuk kolaborasi dengan Jabatan Dietik dan Sajian ini melalui perkongsian kepakaran dan sumber untuk pelaksanaan IDDSI di semua hospital di Sabah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Kepakaran Dietetik dan Sajian, Norafizah Mohd Nordin menambah,  usaha ini dapat memastikan tekstur makanan yang disediakan selamat dimakan oleh pesakit sebagaimana berdasarkan keperluan klinikal.

“Sisa pinggan tinggi dalam menu pesakit disfagia seperti diet puri sehingga 68 peratus perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan rawatan melalui pemakanan pesakit disfagia dapat diperbaiki,” katanya. – MalaysiaGazette