Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Parameswaran diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak bergambar pada lawatan beliau ke Pejabat Urusan Malaysia Gazette di Kompleks Permaisuri Q , Cheras, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 03 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau akan memutuskan calon yang akan diketengahkan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu kelak.

Naib Presidennya, Datuk G. Parameswaran memberi bayangan Grakan cenderung untuk mencalonkan semula Pengerusi Gerakan Selangor, Henry Teoh sekiranya parti itu diberi kepercayaan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Parameswaran berkata, ia bersandarkan kepada rekod majoriti undi yang diperoleh penyandangnya, Lee Kee Hiong hanya 4,119 undi.

“Mungkin Henry (Teoh) akan tanding atau Perikatan Nasional ada calon baru kita belum tahu, bergantung kepada Presiden, beliau akan putuskan siapa calon.

“Tetapi kerusi itu Gerakan bertanding (PRN Selangor), di mana Pengerusi Gerakan Selangor, Henry Teoh tapi dia kalah pun tidak jauh,” katanya ketika mengunjungi MalaysiaGazette, hari ini.

Pada PRN Selangor lalu, Gerakan meletakkan Henry Teoh sebagai calon bagi menentang Lee Kee Hiong dari DAP, Dr Siva Prakash dari Parti Ikatan Demikratik Malaysia (MUDA) dan Chng Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

Esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

SPR jelas Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Kuala Kubu Baharu.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Dalam pada itu, Parameswaran berkata, parti itu sudah memulakan gerak kerja di DUN berkenaan dan beliau yakin Gerakan akan merampas kerusi berkenaan daripada DAP.

“Gerakan sudah memulakan kerja turun padang di Kuala Kubu Bharu, minggu lepas kami sudah turun padang dan hanya tunggu tarikh PRK dan siapa yang calon.

“Kemungkinan besar Gerakan bertanding di Kuala Kubu Bharu itu besar, sebab kita nak rampas kerusi berkenaan. Sekarang impak sudah lain sebab semua pihak yakin Gerakan akan ambil alih kerusi Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Pada PRN Selangor, mendiang Kee Hiong yang bertanding atas tiket PH-DAP memenangi kerusi itu dengan majoriti 14,862 undi, menewaskan Teoh Kien Hong daripada PN-Gerakan.

Mendiang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu sejak 2013. – MalaysiaGazette