Empat penuntut UiTM yang menyertai Global Camp: Disaster Preparedness di Kochi.

KUALA LUMPUR – Empat mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) terpilih mewakili Malaysia untuk menyertai Global Camp: Disaster Preparedness di Kochi, Jepun anjuran Kochi National Institute of Technology pada 22 sehingga 29 Mac 2024.

Mereka ialah Nur Shuhada Nordin dan Nik Zulaikha Nik Pa dari Kolej Pengajian Kejuruteraan dan Nur Radhia Ahmad Nazari dan Muhammad Al Haqeem Abd Malek dari Kolej Pengajian Alam Bina.

Global Camp in telah mengumpulkan mahasiswa proaktif pelbagai bidang seperti Kejuruteraan dan Pembinaan daripada pelbagai negara seperti Japun, Malaysia, Indonesia, Taiwan, Thailand, Mongolia dan Korea.

Program ini membuka ruang perbincangan dalam mengenal pasti pendekatan inovatif dalam menghasilkan bahan pendidikan yang menarik bagi persiapan bencana alam untuk generasi akan datang.

Selain itu mereka berpeluang meneroka inovasi persediaan bencana alam yang digunakan di negara Jepun seperti lawatan ke Terowong Saliran Banjir sepanjang 5 kilometer yang
menghubungkan Sungai Kusaka dan Sungai Niyodo yang juga terkenal sebagai sungai terbersih di Jepun.

Terowong ini akan digunakan sekiranya air sungai melepasi paras bahaya.

Bukan itu sahaja, peserta juga di bawa ke beberapa lokasi Menara Evakuasi yang dibina untuk menyelamatkan diri semasa proses evakuasi bencana alam.

Peserta Global Camp ini turut didedahkan dengan penggunaan aplikasi Minecraft yang berpotensi besar menyediakan platform dalam memupuk kreativiti jurutera muda dan kemahiran penyelesaian masalah dalam aspek pembangunan dan perancangan bandar.

Aplikasi ini membantu mereka bentuk struktur bangunan serta mensimulasikan senario bencana seperti Tsunami dan banjir. Peserta juga diberi peluang berinteraksi bersama syarikat Nishio Rent All yang menggunakan teknologi canggih dalam pengendalian mesin
pembinaan melalui alat kawalan jarak jauh yang sangat menakjubkan.

Nur Shuhada, wakil UiTM dalam Global Camp ini berkata, program ini telah menyediakan platform kepada bakal jurutera muda dalam menyuarakan idea-idea mereka untuk merangka persediaan menghadapi bencana melalui diskusi bersama wakil negara luar.

“Kami juga turut didedahkan dengan teknologi maju dalam bidang kejuruteraan yang digunapakai oleh negara Jepun yang sememangnya terkenal dengan kepakaran teknologi canggih di persada dunia,” katanya.

Program Global Camp seperti ini secara tidak langsung membantu kadar siap siaga komuniti setempat memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda menghadapi bencana alam.

Tambahan pula, penglibatan Malaysia dalam program ini turut membantu memperkukuhkan kerjasama erat Malaysia dan Jepun dalam aspek kejuruteraan dan teknologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast