Kashif Ansari

KUALA LUMPUR – Malaysia menjadi destinasi kedua popular di Asia Tenggara bagi pembeli hartanah dari China, meningkat daripada tempat ketiga pada 2022, menurut data yang dikeluarkan oleh rangkaian ejen hartanah global IQI.

IQI, yang mempunyai 40,000 ejen hartanah merupakan ahli kumpulan teknologi hartanah antarabangsa Juwai IQI.

Dalam satu kenyataan hari ini, IQI berkata, peningkatan itu didorong oleh lokasi Malaysia yang selesa untuk didiami, kestabilan ekonomi, sektor pendidikan antarabangsa dan pasaran hartanah yang semakin berkembang.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Juwai IQI Kashif Ansari berkata,  Malaysia terus menarik pelaburan hartanah kediaman asing yang ketara kerana pelabur asing melihat hartanah Malaysia memberi peluang lumayan dari segi peningkatan modal dan hasil sewa.

“Malaysia merupakan antara tiga negara teratas di Asia Tenggara bagi pembeli kediaman dari China sejak lima tahun lepas,” katanya.

Kashif berkata Vietnam jatuh ke tempat ketiga, manakala Thailand kekal menjadi destinasi nombor satu di Asia Tenggara bagi pembeli China sejak sebelum 2018.

“Kira-kira 60 peratus pembeli China mengatakan mereka membeli untuk tujuan pelaburan di Malaysia dan Asia Tenggara, yang kekal konsisten dengan angka pada 2018.

“Sementara itu, 63 peratus membeli kediaman untuk kegunaan mereka sendiri pada 2023, turun daripada 66 peratus pada 2018,” katanya.

Kashif juga berkata, ramai pembeli dari China membeli kediaman di kawasan kejiranan ekspatriat popular, memudahkan mereka mendaftarkan anak mereka di sekolah antarabangsa tempatan, iaitu antara faktor yang mempengaruhi pilihan lokasi mereka.

Justeru, beliau percaya Malaysia akan mengekalkan kedudukannya di rantau Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun akan datang. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast