Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua menteri supaya meluangkan lebih masa untuk turun padang bagi meninjau isu harga barang keperluan dan kuantiti di pasaran, hari ini.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, arahan itu diberikan Perdana Menteri selepas mesyuarat Kabinet yang diadakan hari ini bagi memastikan rakyat tidak terhimpit dengan kenaikan harga barangan.

“Perdana Menteri menegaskan supaya menteri-menteri meluangkan lebih banyak masa untuk turun padang melihat sendiri keadaan termasuk dalam isu berkaitan harga barang atau kuantiti barangan di pasaran.

“Ini susulan maklum balas diterima Perdana Menteri pada siri program dihadiri beliau (sebelum ini),” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi, hari ini.

Sebelum ini tular klip video di media sosial seorang wanita menegur Anwar selepas beliau menghadiri satu program di Perlis.

Video berdurasi 22 saat itu menyaksikan wanita itu merungut kepada Anwar berhubung harga barang keperluan yang semakin mahal di pasaran.

Dalam pada itu, mesyuarat Kabinet turut mengambil maklum akan kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai di Istana Negara.

Jelasnya, jemaah Kabinet senada dengan titah Sultan Ibrahim yang mahukan penguatkuasaan ditegaskan dan diberikan keutamaan.

“Jemaah menteri juga mengambil maklum mengenai posting di Facebook Sultan Ibrahim dan menjunjung kasih diatas perkenan untuk menerima menghadap pengasas tersebut.

“Jemaah menteri juga senada bahwa aspek penguatkuasaan perlu ditegaskan dan jemaah menteri juga mengambil maklum dan menjunjung titah mengenai keperluan untuk tangani mereka yang cuba menghasut rakyat,” katanya.

Awal hari ini, Sultan Ibrahim melalui hantaran di laman Facebook menerangkan baginda perkenan untuk menerima menghadap KK Chai di Istana Negara.

Menurut banginda, dalam sesi yang berlangsung selama 15 minit itu Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Sultan Ibrahim bertitah menekankan semua pihak termasuk KK Mart supaya lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO).

“Sekali lagi saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah baginda. – MalaysiaGazette