BENTONG – Seorang pemilik bengkel dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 atau penjara dua minggu jika gagal membayarnya oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Pengarah KPDN Pahang, Jeslily Jamaludin berkata, tertuduh didakwa kerana gagal untuk memberi kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan yang akan dilakukan ke atas sebuah kenderaan milik seorang pelanggan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7, Peraturan- Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002.
“Berdasarkan fakta kes, pasukan Pegawai Penguat kuasa KPDN Raub telah menjalankan siasatan aduan ke atas sebuah premis pada 18 Ogos 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu pihak KPDN menerima aduan yang menyatakan premis tersebut gagal mengemukakan kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux sebelum kerja-kerja pembaikan menyebabkan pemilik kenderaan tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan selepas kerja-kerja pembaikan dilakukan.
Justeru Jeslily mengalu-alukan pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga. – MalaysiaGazette