KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membidas kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memperkecilkan usaha Kerajaan Negeri Sabah dalam membangunkan negeri itu melalui program Sabah Maju Jaya.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, hakikatnya Bung sebenarnya cetek akal dan menghidapi sindrom pelupa kerana beliau sendiri tidak pernah membantah Sabah Maju Jaya ketika menggalas Timbalan Ketua Menteri Sabah sebelum ini.
“Kalau Bung tidak berpuas hati dengan Sabah Maju Jaya, kenapa program tersebut tidak dibantah dari awal semasa beliau masih berada dalam Kabinet Sabah. Lebih menghairankan selepas disingkir, beliau dilihat mula melalak tidak tentu hala.
“Ironinya setelah Bung diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, apa yang dilakukan Bung sepanjang dua tahun mengemudi kementerian itu.
“Bung sepatutnya membantu rakyat Sabah menyelesaikan masalah kerosakan jalan, air dan elektrik, tetapi Bung dilihat telah gagal sepenuhnya menunaikan tanggungjawab itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Bung Moktar mempersoalkan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dengan menyifatkan beliau ketinggalan zaman dan hanya berkhayal kerana mengkritik kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, sebagai wakil rakyat, apa yang dilakukannya menjurus kepada usaha mengangkat suara rakyat agar dapat didengar dan mendapat pembelaan sewajarnya.
Sebelum ini, Bung Moktar menyifatkan kerajaan GRS pimpinan Hajiji sebagai ‘kerajaan pengumuman’ kerana hanya banyak membuat pengumuman, berbanding menyelesaikan isu rakyat.
Menurut Zulkarnain, penyakit sindrom penafian dan kurang bijak Bung Moktar mula merebak kepada hampir semua pemimpin UMNO Sabah yang pro kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Suka diingatkan kembali pelaksanaan fasa pertama Hala Tuju Sabah Maju Jaya bermula pada 2021 sehingga 2025 dan berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu Sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan.
“Perkataan Sabah Maju Jaya adalah nama rasmi jata Sabah yang mula diperkenalkan secara rasmi pada 16 September 1988.
“Tujuan kerajaan terdahulu menggunakan nama Sabah Maju Jaya sebagai jata Sabah adalah untuk menjadikan negeri yang makmur,” katanya.
Jelasnya, apabila Hajiji menggalas Ketua Menteri Sabah, beliau telah mengangkat semula jata tersebut bertujuan menanam nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat Sabah supaya berdaya saing dan memajukan diri.
“Masih terlalu awal menilai kejayaan program hala tuju Sabah Maju Jaya tetapi rekod jelas telah menunjukkan Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya membawa pelabur luar untuk membina kilang bernilai hampir RM10 billion.
“Pembinaan kilang Syarikat SK Nexilis Co Ltd (SK Nexilis) di Taman Perindustiran Kota Kinabalu (KKIP), salah satu pengeluar kerajang tembaga terbesar di dunia membawa pelaburan bernilai RM2.3 billion ke Sabah.
“Manakala kilang pembuatan kaca fotovolta solar (PV) yang dikendalikan oleh SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd pula membawa pelaburan bernilai RM3 billion ke Sabah,” katanya.
Katanya, kedua-dua kilang ini telah menawarkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, sekaligus menunjukkan kerajaan negeri telah berjaya mengurangkan kadar pengangguran.
“G57 percaya dalam jangkaan lima hingga ke 10 tahun akan datang, apabila kerajaan GRS diberikan mandat berterusan oleh rakyat Sabah, masalah utama pengangguran termasuk jalan raya, air dan elektrik akan mampu diatasi sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette