Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap enam Ahli Parlimennya dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap parti itu.

Jelas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, kesemua mereka boleh menyambut Aidilfitri sebelum tindakan diambil. 

“Apa yang kita telah laksanakan dalam pindaan ini akan kita kuatkuasa dan diharap dengan itu maka kerusi-kerusi yang terdapat itu enam Parlimen dan satu DUN itu akan kosong dan (dalam pindaan) mengatakan bila seseorang langkah seperti maka keahlian dalam parti itu terhenti maka tidak jadi ahli.

“Maka kesannya ialah kerusi itu mestilah dikosongkan jadi bagi saya tidak apa mungkin mereka tak faham ataupun mereka sahaja nak cari alasan untuk menyatakan sesuatu nak menyedapkan diri mereka sendirilah.

“Ini bulan puasa tak apalah, mereka boleh beraya dulu dan lepas tu kita akan mengambil langkah sewajarnya mengikut pindaan pelembagaan itu,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Selasa lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu.

Pindaan terbabit akan membolehkan parti tersebut mengambil langkah seterusnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen, sekali gus diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pihaknya akan menguatkuasakan pindaan tersebut dan segala bentuk tindakan akan mengikut aturan peraturan perlembagaan parti dan pelembagaan persekutuan.

“Di peringkat sekarang ini tidak apa mereka boleh buat berbagai tafsiran apakah mereka terkesan ataupun tidak tapi pastinya kita telah mengambil kira semua perkara ini sebelum kita mahu perkara usul untuk pinda pelembagaan kerana kita tahu keenam-enam termasuk seorang ADUN adalah sesuatu yang bertentangan dengan dasar parti dan keputusan parti.

“Kita akan gunakan sebagai asas untuk kita pindah pelembagaan kita dan juga Akta Anti Lompat Parti,” katanya.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Keputusan itu dibuat pada EGM selepas perwakilan Bersatu yang hadir sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 Perlembagaan parti.

Pindaan itu dilakukan selepas enam Ahli Parlimen parti itu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang), turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pindaan berkenaan membabitkan tiga perkara bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti, iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Fasal 10.4 memperuntukkan mana-mana ahli Bersatu yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 10.5, disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta-merta.

Perkara 10.5 pula menyatakan Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri, dan ia hendaklah dibuat secara bertulis.

Perkara 10.6 merujuk kepada Fasal 10.4, iaitu Setiausaha Agung, atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi, hendaklah mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta-merta dan namanya dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti. – MalaysiaGazette