PUTRAJAYA – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin diingatkan agar tidak hanya menuding jari dan menyalahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana didakwa gagal menyelesaikan banyak isu di negeri itu.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana Bung Mokhtar sendiri pernah menjadi Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sabah.
“Rata-rata pemimpin di Sabah adalah orang-orang lama, pemain lama politik Sabah. Jangan lupa hukumnya, sifirnya ada empat jari akan melihat mengajukan kepada diri sendiri.
“Setiap pemimpin akan dinilai berdasarkan rekod prestasi mereka, masing-masing pernah jadi Menteri, Timbalan Ketua Menteri dan berpuluh tahun menjadi ahli Parlimen.
“Kita tuding jari kepada orang tak selesaikan isu, jangan lupa bahawa kita juga pernah berada dalam pentadbiran kerajaan tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Bung Moktar mempersoalkan kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyifatkan beliau ketinggalan zaman dan hanya berkhayal kerana mengkritik kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, sebagai wakil rakyat, apa yang dilakukannya menjurus kepada usaha mengangkat suara rakyat agar dapat didengar dan mendapat pembelaan sewajarnya.
Sebelum ini, Bung menyifatkan kerajaan GRS pimpinan Hajiji sebagai ‘kerajaan pengumuman’ kerana hanya banyak membuat pengumuman, berbanding menyelesaikan isu rakyat.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, kepimpinan GRS mempunyai perancangan penamabhabaikan ketika ini.
“Saya fikir rakyat kita termasuk orang Sabah cukup bijak menilai bukan sahaja berdasarkan kata-kata tapi mereka menilai lepas prestasi itu juga.
“Yang penting bagi saya adalah kita mempunyai perancangan yang kita menggerakkan usaha penambahbaikan. Ini yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan GRS pada hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette