KUALA LUMPUR – Program pembangunan usahawan yang dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya apabila seramai 47 orang penerima bantuan kini mampu membayar zakat sendiri.
Menurut Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, usahawan itu kini telah membuat pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ)- MAIWP dengan jumlah antara RM500 hingga RM6,500.
“Semakan dengan PPZ-MAIWP menunjukkan jumlah zakat yang diterima daripada mereka ini berjumlah RM50,652.38.
“Saya juga berharap lebih ramai lagi usahawan MAIWP yang mempunyai kesedaran untuk membayar zakat dalam menjalankan perniagaan pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dalam ucapan pada Majlis Jalinan Kasih Ramadhan Usahawan MAIWP yang dilakukan di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre semalam.
Syed Kamarulzaman berkata, MAIWP akan terus peka dalam pembangunan usahawan supaya mampu bergerak seiring dengan usahawan lain.
“MAIWP seterusnya akan melaksanakan Program Usahawan Centre di mana semua pengusaha food truck dan usahawan akan dihimpunkan untuk berniaga di kawasan yang lebih tersusun dan sempurna.
“Semoga lebih ramai usahawan yang berjaya mengeluarkan zakat untuk kegunaan asnaf, selaras dengan konsep Rahmah Malaysia MADANI,” ujarnya. – MalaysiaGazette