JOHOR BAHRU – Sebuah lori yang membawa muatan karkas babi dengan berat dianggarkan sebanyak 22 tan bernilai anggaran hampir RM600,000 yang dibawa masuk dari Singapura ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Ahad lalu.
MAQIS dalam kenyataan media hari ini memberitahu, satu pemeriksaan telah dibuat dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bay pemeriksaan import Kompleks Sultan Abu Bakar dan mendapati terdapat sebuah lori membawa karkas babi yang disyaki cuba dibawa masuk tanpa sebarang dokumen.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati konsainan tersebut tiada sebarang dokumen seperti Permit Import MAQIS dan Sijil Kesihatan Veterinar.
Perbuatan ini disyaki menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta
Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) Akta yang sama kerana mengimport tanpa permit import MAQIS.
Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak MAQIS sentiasa menjalankan penguatkuasaan undang-undang yang diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian agar tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikro-organisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, menurut kenyataan yang sama, pemandu dan kelindan lori masing-masing berumur 27 dan 29 tahun telah dibebaskan selepas diambil keterangan.- MalaysiaGazette