Fuziah Salleh

KUANTAN – Tindakan memantau harga barangan kawalan setiap kali musim perayaan merupakan langkah tepat dalam pasaran terbuka seperti di Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, langkah itu dapat mengurangkan tekanan harga oleh peniaga setiap kali terdapat permintaan tinggi sesuatu barangan.

“Bila permintaan tinggi, maka tentu sekali bekalan akan terkesan, takut ada peniaga yang mengambil kesempatan dalam keadaan permintaan itu tinggi.

“Jadi kita perlu letakkan dia punya kawalan. Kita tak mahu peniaga mengambil kesempatan dalam keadaan permintaan itu tinggi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2024 di Pasaraya LYC Sdn. Bhd. diKemunting, di sini, hari ini.

Menurut Fuziah, seramai 2,200 pegawai penguatkuasa dan kira-kira 1,000 pegawai pemantauan harga (PPH) digerakkan dalam pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2024.

Tambah beliau, kementeriannya akan memantau 41 barangan setiap hari di lebih 1,000 premis membabitkan pasaraya besar, pasaraya mini, kedai runcit, pasar basah dan pasar awam di seluruh negara.

“Laporan dan data itu dimasukkan ke price catcher. Kalau (semua orang) melihat aplikasi itu (price catcher), ada data yang dimasukkan setiap hari,” katanya.

Pelaksanaan SHHMP Hari Raya Puasa 2024 dilaksanakan selama 15 hari bermula 5 hingga 14 April ini. – MalaysiaGazette