Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap kepada media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 26 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Parti telah meminta Peguam dan Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun untuk membantu Dr. Muhammad Akmal Saleh yang ditahan polis di Sabah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah menghubungi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO tersebut yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

“Alhamdulillah beliau (Dr Akmal) berada dalam keadaan baik dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis yang menjalankan tugas.

“Menurut Dr Akmal, beliau sepatutnya dijadualkan dipanggil memberikan keterangan di Kuala Lumpur esok namun ditahan setibanya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

“Setakat perbualan telefon dengan beliau sebentar tadi, dimaklumkan insya-Allah beliau akan dibebaskan selepas segala keterangan selesai diambil oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO tersebut hari ini telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi.

Menurut Dr. Muhammad Akmal, beliau dijadualkan akan memberi keterangan di Ibupejabat Polis Dang Wangi (IPD) esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memaklumkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan hari ini berkata, sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Menurut Razarudin, pihaknya telah menerima dua laporan polis berkaitan ucapan dan tindakan pemimpin itu berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka 24 jam KK Mart.

“Siasatan telah dijalankan ke atas beliau (Dr Akmal) dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil,” katanya.-MalaysiaGazette