Keadaan motosikal mangsa selepas bergesel dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 121.5, Arah Selatan, Lebuh Raya Utara Selatan malam tadi.

BATU PAHAT – Seorang penuntut kolej vokasional  maut selepas dilanggar kereta dan motosikal ditunggangnya terjatuh di bahu kanan jalan di Kilometer 121.5, Arah Selatan, Lebuh Raya Utara Selatan malam tadi.

Dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan itu, mangsa dikatakan bergesel dengan sebuah kereta yang ketika itu memperlahankan kenderaan untuk bertukar ke lorong kecemasan.

Kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Sani.

Menurutnya, insiden tersebut menyebabkan mangsa telah terjatuh di lorong kanan jalan dan pada masa yang sama sebuah kereta sedang melalui lorong kanan tidak sempat mengelak dan terlanggarnya.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kedua-dua kaki dan kemudiannya pada lebih kurang 1.05 pagi tadi telah disahkan meninggal dunia semasa dalam rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

“Mangsa dipercayai telah kehilangan darah yang banyak akibat kecederaan yang dialami.  Kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa adalah Muhammad Fadzri Aiman Mohd Fadli berumur 20 tahun dan beralamat di Taman Johor Jaya, Johor Bahru merupakan pelajar Kolej Vokasional Bukit Katil, Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5, 000 dan tidak lebih daripada RM20, 000.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut agar dapat tampil membantu siasatan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast