KUALA LUMPUR – Semua tiket ETS sempena Hari Raya Aidilfitri di antara 4 hingga 15 April berjumlah 135,000 habis dijual sebaik dibuka pada 30 Oktober lalu.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada mulanya menawarkan sebanyak 119,880 tiket untuk orang ramai membuat perancangan awal.
KTMB menyediakan 32 perkhidmatan ETS sehari untuk semua laluan dari Gemas hingga ke Padang Besar.
Berikutan permintaan yang tinggi KTMB menyediakan enam perkhidmatan tren ETS tambahan.
“Tren tambahan ini menawarkan sebanyak 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket tambahan adalah sebanyak 15,120 termasuk tren ekspres ETS.
“Jumlah keseluruhan tiket yang ditawarkan bagi perkhidmatan ETS termasuk tren tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri ini adalah 135,000 tiket,” katanya dalam sidang media.
Sementara itu 25,198 daripada 56,688 tiket KTM Intercity dan 96,419 daripada 119,040 tiket Shuttle Tebrau telah dijual.
Katanya, 952 tiket tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya juga telah habis dijual.
Tren Khas ELA akan berhenti di 17 buah stesen; iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.
Tren khas ini dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk kelas pertama, koc tempat duduk kelas kedua, koc buffet, dan koc chillax.
Tiket-tiket dijual dengan harga bermula daripada RM55.00 sehingga RM83.00 bagi perjalanan sehala.
“Saya menyeru agar rakyat Malaysia yang memilih untuk pulang beraya atau bercuti menaiki tren agar mendapatkan tiket yang masih ada dan bukanlah di saat-saat akhir bagi mengelakkan kehabisan tiket.
“Di kesempatan ini, bagi pihak KTMB saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang bakal meraikannya dan bercuti bersama keluarga,” katanya.
Beliau sebelum itu beramah mesra dengan penumpang tren ETS dan KTM Komuter di Stesen KL Sentral dan menyerahkan 1,000 pek cenderahati.
Program tahunan KTMB itu sebagai tanda terima kasih dan menghargai sokongan para penumpang yang menggunakan perkhidmatan tren KTMB khususnya pada musim perayaan. – MalaysiaGazette