Gambar hiasan

KURANG seminggu lagi, kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 10 April 2024. Dijangka seawal 5 atau 6 April 2024 orang ramai mula bergerak pulang ke kampung untuk merayakan Aidilfitri bersama ibu bapa dan keluarga di kampung halaman masing-masing.

Melalui pengumuman pemberian tol percuma di lebuh raya oleh pihak kerajaan pada 8 dan 9 April 2024, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya pada 5 hingga 7 April 2024. Orang ramai boleh merancang perjalanan untuk pulang lebih lewat ke kampung halaman dengan lebih teratur dan tidak tergesa-gesa.

Bergelar perantau dan pulang ke kampung halaman bukan sekadar untuk berhari raya. Para perantau sebenarnya memberi sumbangan besar yang kadangkala tidak terlihat disebabkan kepulangan mereka secara beramai-ramai ini akan membantu merancakkan ekonomi tempatan. Bagaimana perkara ini berlaku?

Perantau merancakkan aktiviti ekonomi setempat
Dengan pulangnya perantau ke kampung halaman, ia sebenarnya satu rahmat kepada para peniaga kecil di kampung. Hasil jualan para peniaga kecil ini akan meningkat kerana perantau yang pulang ini ada yang mempunyai kuasa membeli yang besar dan sudah pastilah mereka akan mengambil peluang berada di kampung halaman selama beberapa hari ini untuk berbelanja.

Sebagai contoh, anak-anak rantau yang pulang sudah pasti ingin membeli ‘barang dapur’ untuk ahli keluarga di kampung bagi menyediakan juadah berbuka puasa hingga juadah istimewa Aidilfitri seperti rendang, ketupat dan banyak lagi. Sudah pastilah mereka akan ke kedai runcit, kedai ayam dan daging, gerai-gerai sayur serta ikan di tepi jalan yang berdekatan dengan rumah keluarga dan seterusnya membuat pembelian. Ini merupakan kemenangan kepada peniaga-peniaga kecil setempat melalui peningkatan jualan dan seterusnya keuntungan yang dituai.

Jika perantau pulang ke kampung halaman di daerah Sabak Bernam, Selangor, mereka sudah pasti akan ke gerai Mael Burger Sungai Besar di Restoran Al-Manara, Sungai Besar jika teringin menikmati burger sebagai moreh usai mengerjakan Solat Tarawih. Jika ingin menggunting rambut, mereka boleh ke Hairul Barbershop di Bazar Dorani Perdana, Sungai Haji Dorani sekali gus merupakan rahmat dan rezeki kepada para peniaga di kampung. Untuk persiapan berhari raya, kedai Aneka Kerepek As-Syifa, Kampung Peket 60, Sungai Besar merupakan pilihan utama masyarakat serta pengunjung luar disebabkan kerepek berkualiti yang dijual dengan harga berpatutan.

Promosi perniagaan oleh peniaga atau usahawan setempat
Para peniaga setempat wajar mengambil kesempatan diatas kepulangan ‘anak jati’ dengan mempromosikan perniagaan dan produk jualan. Promosi fizikal boleh dilakukan melalui penggunaan kain rentang atau gegantung di gerai mahupun meja jualan. Anda tidak perlu membuka perniagaan di pekan dalam daerah, memadai dengan berniaga di depan rumah anda di kampung juga boleh menarik perhatian pembeli menerusi kaedah
ini. Dengan kain rentang yang cantik dan menarik, serta memaparkan gambar produk yang dijual, ditambah dengan rekaan gegantung yang memaparkan gambar produk yang jelas, menarik dan membuka selera (bagi produk makanan) pembeli dan bakal pembeli akan mendapat gambaran awal melalui ‘pandang pertama’ dari kejauhan tanpa perlu pergi mendekati meja jualan. Daripada pandangan pertama ini, ia dapat meyakinkan pembeli untuk mencuba produk yang ditawarkan seperti kata bidalan; ‘dari mata turun ke hati’.

Selain promosi fizikal, peniaga mahupun usahawan setempat boleh memanfaatkan teknologi media sosial yang sedang berkembang pesat kini untuk menjalankan promosi secara dalam talian atau ‘online’. Sebagai contoh, para peniaga biskut raya, kerepek dan kuah pecal boleh mengiklankan produk jualan secara berkala menerusi aplikasi Whatsapp dan Telegram (group Whatsapp atau Telegram kariah atau kampung), ‘page’ Facebook perniagaan ataupun beriklan di dalam Facebook ‘group’ kariah ataupun kampung. Selain itu, para peniaga boleh memanfaatkan aplikasi TikTok bagi promosi gerai atau produk secara video, melakukan temubual pelanggan mahupun sesi ‘live’ bersama penyokong gerai atau perniagaan. Aplikasi Instagram juga boleh dimanfaatkan peniaga setempat bagi melakukan promosi melalui gambar-gambar menarik produk, aktiviti perniagaan, pelanggan istimewa serta promosi terhad disulam dengan kapsyen ringkas.

Peranan pihak berwajib setempat
Jika di bandar-bandar besar, pihak Majlis Bandaraya ataupun Dewan Bandaraya serta pihak swasta akan mempromosikan tempat tarikan serta lokasi menarik yang ada di bandar tersebut secara agresif. Perkara ini boleh diambil pengajaran oleh Majlis Daerah di luar bandar dengan mempromosikan lokasi menarik yang ada di daerah masing-masing. Sebagai contoh, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Pejabat Penerangan Daerah Sabak Bernam mengambil inisiatif mempromosikan Kapal Terbang Sekinchan, Agro Pelancongan Sungai Panjang, Kelip-Kelip Sungai Panjang, Pantai Redang, Faridah Mentarang Bakar, sawah padi dan banyak lagi hingga menjadi tumpuan masyarakat Lembah Klang untuk meluangkan masa cuti hujung minggu ke lokasi yang boleh ‘balik hari’ tanpa perlu bermalam.

Bagi perantau yang pulang beraya, sudah pastilah lokasi-lokasi menarik ini akan dikunjungi bagi dijadikan tempat bergambar dan merakam kenangan bersama keluarga tercinta. Gambar dan video yang diambil ini sudah pastilah akan dimuatnaik ke laman-laman sosial sekaligus akan menarik perhatian rakan-rakan perantau untuk datang bercuti kelak. Bonus jika perkongsian perantau ini tular dan menjadi sohor kini hingga
dikongsikan pula oleh ‘page’ Facebook dan laman sesawang pelancongan, sudah pasti daerah asal perantau akan menggamit kunjungan pelancong luar pula.

Sebagai kesimpulan, kepulangan perantau untuk berhari raya di kampung halaman mampu mencetuskan impak positif kepada perniagaan setempat dan pihak berwajib. Justeru, semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu memikirkan strategi ampuh dengan menjadikan kepulangan ‘anak jati’ sebagai wadah untuk meningkatkan daya saing perniagaan dan seterusnya lokaliti setempat.

Mohammad Sufian Abdul Manan
Penolong Pendaftar Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari,
Universiti Teknologi Mara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast