KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi motosikal yang dilakukan di kawasan Bukit Ampang Saujana, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seramai enam individu diperiksa bersama motosikal masing-masing.
Katanya, operasi rutin itu seperti kebiasannya lebih memfokuskan kepada kenderaan jenis motosikal.
Ini kerana kata beliau, kenderaan berkenaan sering kali dilihat melakukan pengubahsuaian struktur, terutamanya pada struktur ekzos motorsikal yang mengganggu ketenteraman awam.
“Sebanyak 20 keping saman telah dikeluarkan atas kesalahan lazim seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, ubah suai ekzos dan juga lain-lain kesalahan.
“Selain itu, sebanyak tiga buah kenderaan telah disita di bawah Sek. 64(1) APJ 1987 dan Sek. 6(4) akta yang sama kerana melakukan pengubahsuaian ekzos yang melampau dan juga brek tidak berfungsi.
“Kenderaan yg disita ini dibawa balik ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azam mengingatkan kepada waris mahupun penjaga untuk memantau aktiviti anak-anak dengan lebih ketat.
“Sayangi diri dan keluarga, ingatlah perayaan perlulah disambut dengan kegembiraan bukan kedukaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette