Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan kes Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dijangka siap dalam tempoh tujuh hari lagi, bermula semalam sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tidakan selanjutnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian.

“Kita menjangkakan kertas siasatan ini akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, beberapa hari selepas cuti Hari Raya Aidilfitri ini berakhir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Muhamad Akmal Saleh diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu setibanya di Sabah daru Kuala Lumpur walaupun beliau telah dijadualkan untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada Sabtu.

Ketua Pemuda UMNO itu merupakan individu yang lantang mengkritik penjualan stokin tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Menurut Razarudin, pihaknya memerlukan keterangan daripada saksi bagi mengukuhkan fakta untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette