MELAKA – Gabungan 70 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Ops Ihsan menyerahkan bantuan kemanusiaan berjumlah lebih RM50 juta kepada rakyat Palestin termasuk ketika Ramadan dan menjelang Syawal ini.
Pengerusi Serantau Muslim merangkap Ahli Jawatankuasa Kluster Advokasi Ops Ihsan, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, ia merangkumi keperluan makanan, pakaian dan perubatan kepada rakyat yang ditindas rejim Israel itu.
Menurutnya, serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa selain 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal, kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang berskala besar.
“Sebab itu beberapa bulan ini khususnya Ramadan, sumbangan kita lebih kepada keperluan makanan selain pakaian dan perubatan.
“Kira-kira 70 NGO termasuk Serantau Muslim bergabung di bawah Ops Ihsan menyerahkan bantuan keseluruhan berjumlah lebih RM50 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Serantau Muslim dan Dunia Melayu Dunia Islam di Duyong di sini semalam.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Presiden DMDI Malaysia.
Ops Ihsan adalah inisiatif yang dilancarkan Kementerian Luar bersama NGO, antaranya Serantau Muslim, Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Aman Palestin, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan juga Malaysian Relief Agency (MRA).
Pada majlis itu, seramai 300 asnaf, anak yatim, asnaf dan pelajar tahfiz diraikan termasuk pemberian pek makanan berupa barangan dapur dan duit raya.
Mengulas lanjut, Mohd Hakim berkata program menyantuni golongan kurang bernasib baik itu sudah diadakan di 40 lokasi seluruh negara pada bulan Ramadan. – MalaysiaGazette