Polis menerima satu laporan berhubung tulisan tertera kalimah Allah pada tapak kasut wanita bertumit tinggi yang tular dalam media sosial Facebook.

KUALA LUMPUR – Polis menerima satu laporan berhubung tulisan tertera kalimah Allah pada tapak kasut wanita bertumit tinggi yang tular dalam media sosial Facebook.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan itu diterima daripada seorang guru sebuah sekolah di Kepala Batas, Pulau Pinang yang terlihat satu hantaran di laman Facebook atas nama Hidayah Sani yang didakwa berkongsi maklumat mengenai tulisan kalimah Allah pada tapak kasut wanita awal pagi tadi.

Katanya, laporan polis dibuat pengadu di Balai Polis Sungai Dua, Butterwoth sebaik mengesan hantaran yang dikongsi itu.

“Siasatan polis mendapati, pengadu mendakwa dia melihat hantaran di Facebook ketika berada di rumahnya sekitar 4.30 pagi sebelum bertindak membuat laporan polis atas dasar tanggungjawab.

“Pengadu menggesa polis menjalankan siasatan bagi mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan (kasut tulisan kalimah Allah) perbuatan itu untuk diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

“Hasil siasatan awal mendapati terdapat dua gambar yang dimuatnaik dalam hantaran itu yang memaparkan kasut perempuan berwarna krim di bahagian hadapan dan bahagian tapak yang tertera kalimah Allah,” katanya selepas dihubungi hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan juga mendapati hantaran itu mempunyai satu pautan video aplikasi TikTok di alamat https://vt.tiktok.com/ZSFbHs7RK/ berhubung perkara yang sama.

Katanya, pengadu juga mendapati hantaran berkenaan telah dikongsi oleh sekitar 8,000 individu dalam media sosial tersebut.

Rentetan laporan polis guru itu,  polis Ibu Pejabat Polis Derah Seberang Perai Utara (SPU) sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas kesalahan yang menyebut mengenai dengan sengaja mengeluarkan perkataan, bunyi, isyarat dan sebagainya berniat hendak melukakan perasaan keagamaan seseorang.

Malah kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – MalaysiaGazette