KUALA LUMPUR – Hampir 10,000 tenaga kerja pelbagai peringkat di Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditugaskan di sepanjang rantaian perkhidmatannya di 11 negeri di seluruh Semenanjung bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik menjelang Aidilfitri.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, pemantauan ditingkatkan menjelang hari raya dengan kebiasaannya tempoh 72 jam bermula sehari sebelum 1 Syawal adalah kritikal berikutan orang ramai rancak membuat persiapan terutama pada malam Aidilfitri.
“Walaupun tugasan ini rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masing-masing, saya yakin setiap warga kerja ini akan memberikan yang terbaik demi pengguna di seluruh negara,” katanya.
TNB memaklumkan bagi menghargai sumbangan warga kerja terbabit, pihaknya mengekalkan tradisi menitipkan bingkisan kuih raya yang disediakan dengan kerjasama Persatuan Wanita TNB. – MalaysiaGazette