Kumar menunjukkan kejayaan Polis Johor dalam serbuan yang dilakukan keatas sindiket peminjam wang tidak berlesen di sekitar bandar raya Johor baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket peminjam wang tidak berlesen yang juga mengupah ahli mereka setiap kali melakukan peras ugut mangsa.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pekerja-pekerja ah long diupah antara RM600 hingga RM1,000 setiap kali melakukan aktiviti jenayah itu.

Menurutnya, sindiket tersebut telah bergiat aktif sejak bulan Januari tahun ini dan dipercayai berpangkalan di luar negara.

Mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki Melayu, dua lelaki dan seorang wanita Cina yang berusia antara 29 hingga 46 tahun, katanya kepada media dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor petang tadi.

Kumar berkata, tujuh individu berkenaan mengaku dibayar sehingga RM1,000 bagi kerja-kerja khianat yang menggunakan api.

Bagi kerja-kerja membaling cat merah di rumah-rumah mangsa, mereka dibayar sebanyak RM600.

Kumar menambah, sindiket berkenaan memberikan pinjaman dalam jumlah kecil antara RM1,000 hingga RM5,000 dengan mengenakan bayaran faedah antara 20 hingga 50 peratus menyebabkan mangsa sukar melangsaikan pinjaman.

Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 436, Seksyen 435, Seksyen 247 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu katanya, seramai 333 suspek ditahan berkaitan sindiket ah long menerusi 1,211 serbuan dijalankan pihaknya di sejak Januari 2020 hingga Mac lalu.-MalaysiaGazette