TAWAU – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang cedera di mata kiri selepas terkena tembakan penjenayah dalam kejadian di perairan di Kunak semalam, disahkan buta kekal pada mata kirinya.
Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, buta sebelah mata kerana peluru mengenai saraf mata.
“Pembedahan dilakukan di Hospital Tawau semalam, prosedur mengeluarkan peluru itu mengambil masa kira-kira dua jam, peluru berjaya dikeluarkan dan anggota dalam keadaan stabil.
“Namun disebabkan kejadian itu, doktor mengesahkan dia akan buta sebelah mata, tidak dapat diselamatkan, sebab peluru itu kena pada saraf mata, dia hilang sebelah mata kekal, ini satu kejadian yang amat sensitif bagi kami, dia akan berada di hospital selama seminggu untuk pemerhatian, sebaik dia pulih dia boleh balik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Zainal di Hospital Tawau di sini hari ini.
Semalam media melaporkan dua anggota Maritim Malaysia yang dalam tugasan Ops Khas Pagar Laut bersama empat anggota lain, cedera ditembak selepas menghampiri sebuah bot untuk melakukan pemeriksaan, namun empat das tembakan dilepaskan dari bot berkenaan ke bot maritim.
Kejadian 8.30 pagi di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi di Kunak itu, menyebabkan Zainal cedera di mata kiri manakala Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan.
Hamid berkata, setiap anggota pasukan keselamatan yang cedera semasa bertugas menjaga keselamatan, akan diberikan pampasan sewajarnya dan lawatan pada hari ini juga bagi melihat keperluan atau bantuan lain yang boleh disalurkan.
Sementara itu Hamid berkata, selepas kejadian tembakan itu, bot suspek dilihat memecut laju menuju ke arah sektor Semporna, dan hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek sebelum ini berada di Suba Duyung dan Batik Parang untuk aktiviti jenayah rentas sempadan, iaitu melakukan jenayah menyeludup.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mengenal pasti suspek, sekarang bergabung tenaga bersama PDRM dan Eastern Sabah Security Command untuk menjejaki suspek, antara aset terlibat ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) melibatkan dua kapal diraja serta 21 bot.
“Selain itu PDRM turut mengatur gerak aset dari semua bahagian membabitkan lima kapal dan 26 bot ronda serta bot tempur, manakala Maritim Malaysia menggerakkan empat kapal maritim selain 15 bot ronda dan bot tempur, tumpuan kita sekarang melibatkan sektor dari Lahad Datu, Kunak, Semporna hingga Tawau,” katanya lagi. – BERNAMA