Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekalan beras dalam pasaran dijamin mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia, kata – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menurutnya, pada masa ini, pengedaran stok beras putih tempatan (BPT) sedang giat dijalankan dan penurunan harga beras putih import (BPI) di antara RM2 hingga RM3 turut dilaksanakan bagi menampung keperluan para pengguna seperti yang dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bulan lalu.

Sehingga kini, stok fizikal beras negara adalah sebanyak 1,096,964 tan metrik termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal beras.

“Bagi maksud keterjaminan bekalan beras negara, jumlah tersebut adalah stabil serta mampu menampung keperluan untuk tempoh 5.48 bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

KPKM menambah, jumlah stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk adalah antara yang tertinggi dan terjamin di rantau ini.

Kerajaan, ujarnya, turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin peningkatan pengeluaran beras tempatan khususnya melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi.

Antara yang dirangka adalah peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan, program penanaman padi 5 musim untuk 2 tahun dan inisiatif memperkukuh infrastruktur pengairan sawah.

KPKM juga menggalakkan penanaman dan pengambilan hasil tanaman-tanaman lain yang bernutrisi dan sihat oleh rakyat selain daripada makanan ruji negara.

Jelasnya, perkara itu adalah antara penekanan utama KPKM dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan negara selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030. – MalaysiaGazette