MARAN – Setiap doa yang diangkat pasti didengari oleh Allah Yang Maha Esa.

Alhamdulillah, itulah yang dirasai oleh 50 jemaah apabila merasai air hujan yang menitik seusai melakukan solat Istisqa’ di Kampung Pesagi dekat Maran, hari ini.

Kadi Daerah Maran, Amirul Farhan Wahi berkata, jemaah  menunaikan solat dalam keadaan redup berbanding ketika mula-mula bentang tikar cuaca panas terik.

“Waktu solat, dah renyai sikit, selepas itu berhenti sekejap dan mendung, bila awan mendung maknanya kami (bersolat) tak panas.

“Ketika kami mula solat cuava masih panas tetapi ketika melaksanakan solat hujan mula turun rintik-rintik.

Para jemaah mendengar khutbah yang dibacakan oleh Kadi Maran, Amirul Farhan Wahi sejurus menunaikan Solat Sunat Istisqa di Kampung Pesagi di daerah Maran pada hari ini

“Alhamdulillah masa khutbah itu hujan turun dan awan hitam semakin berkumpul,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditanya pengalaman ketika mengimamkan solat sunat itu tadi.

Amirul memaklumkan sejurus selesai solat, beberapa tempat di kawasan sekitar sudah mula hujan dengan lebat dalam tempoh 20 minit.

Menurutnya, hujan lebat mulai lebat di kawasan persisiran tebing sungai dan pekan Chenor dan ke bandar Maran.

Beliau yang sudah bertugas lebih daripada dua tahun mengharapkan agar umat Islam di negeri ini memanjatkan doa agar hujan turun dan fenomena El-Nino berakhir di negara ini.

Solat sunat Istisqa dilakukan sebagai menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar solat hajat dilaksanakan di semua masjid dan surau di Pahang bermula 23 Mac.

Susulan itu Jabatan Mufti Pahang menyuruh  rakyat Pahang untuk melakukan solat Istisqa’ mulai jam 3.30 hingga 4.45 petang. memohon hujan ekoran cuaca panas melampau sejak beberapa minggu ini.

Sebagai permulaan, solat Istisqa’ diadakan sebelum solat Asar pada 28 Ramadan 1445H di Persisiran Pasir Sungai Pahang, Kg. Pesagi iaitu berhadapan Masjid Kg. Pesagi, Maran.

“Seluruh rakyat negeri Pahang melalui komuniti kepimpinan setempat diminta untuk mengadakan solat Istisqa’ di lokasi masing-masing dengan kaedah solat Istisqa’ yang sempurna.

“Adalah diharapkan agar seluruh rakyat memperbanyak istighfar sebelum solat Istisqa’ dilaksanakan; dan sebaiknya dilaksanakan solat di kawasan lapang seperti padang dan ruang terbuka,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.