Tertuduh, Izhar Ismail, 33, berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas kesalahan meragut seorang warga emas sehingga menyebabkannya cedera Mac lalu.

MELAKA – Seorang lelaki berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan meragut seorang warga emas sehingga menyebabkannya cedera parah bulan lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan bagaimanapun menangguhkan keputusan hukuman terhadap tertuduh, Izhar Ismail, 33, pada 22 April depan selain tidak membenarkannya diikat jamin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap Chong Sook Fang, 62, dengan mengakibatkan kerugian lebih kurang RM1,500.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari 19 Mac lalu di sebuah stesen minyak di Jalan Malim dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa telah diserang oleh tertuduh dan dua lagi suspek yang masih bebas ketika dia hendak masuk ke dalam kereta.

Kejadian mengakibatkan beg tangan mangsa diragut seorang daripada suspek yang masih bebas dari tingkap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton sehingga warga emas itu terseret sejauh 80 meter.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala, tangan serta badan dan terpaksa menjalani dua kali pembedahan.

Sementara itu, dalam prosiding mahkamah, Elesabet tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga tarikh sebutan semula bagi penetapan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast