Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kajian dan penyelidikan mendapati orang utan berupaya menyesuaikan diri dengan persekitaran mampan di ladang kelapa sawit.

Ia dapatan daripada penyelidikan oleh sekumpulan penyelidik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), HUTAN yang melibatkan Program Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan mulai 2008 hingga 2012.

HUTAN merupakan NGO yang sedang menjalankan kajian populasi orang utan di Sabah di bawah tajaan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) melibatkan
peruntukan sebanyak RM1.23 juta.

Pada 8 September 2023, MPOGCF, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan HUTAN telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kajian populasi orang utan di negeri berkenaan mulai 2023 hingga 2025.

Penemuan penyelidikan tersebut dinyatakan dalam jurnal bertajuk Of Pongo, palms and perceptions: a multidisciplinary assessment of Bornean orangutans Pongo pygmaeus in an oil palm context yang diterbitkan secara dalam talian oleh Cambridge University Press pada 30 Mei 2014.

Jurnal tersebut ditulis secara bersama oleh Dr Marc Ancrenaz, Felicity Oram, Laurentius Ambu, Isabelle Lackman, Eddie Ahmad, Hamisah Elahan, Harjinder Kler, Nicola K Abram dan Erik Meeijaard.

Hasil kajian yang dilaksanakan di ladang-ladang kelapa sawit matang di sekitar kawasan muara Sungai Kinabatangan, Sabah menunjukkan kehadiran orang utan di ladangladang matang di mana haiwan itu menjadikan pokok kelapa sawit sebagai sarang serta memakan buah sawit yang masak.

“Tinjauan dari udara dan di darat menemukan sarang-sarang orang utan di belukar dan kumpulan pokok terpencil di seluruh kawasan ladang kelapa sawit di muara Sungai Kinabatangan serta di kawasan pokok nipah.

“Walaupun pemantauan kami di darat mendapati orang utan lebih cenderung bersarang di pokok-pokok jenis lain, haiwan tersebut turut menggunakan kelapa sawit bagi tujuan ini,” jelas jurnal itu.

Jurnal tersebut turut menyatakan orang utan menggunakan kelapa sawit sebagai sumber makanan dengan memakan pucuk muda dan buah masak dari tandan yang gugur atau masih di atas pokok.

Selain itu, para penyelidik turut menemukan sisa buah sawit yang tidak hadam dalam sampel najis orang utan.

“Hasil penyelidikan kami juga menunjukkan bahawa kerosakan daun kelapa sawit yang dilakukan oleh orang utan terhadap pokok-pokok matang tidak memberi kesan terhadap penghasilan buah,” tambah jurnal itu.

Satu lagi penemuan yang menarik adalah kira-kira 90 peratus tanda kehadiran orang utan yang dikenal pasti dalam ladang kelapa sawit dikesan kira-kira 50 meter dari kawasan belukar.

Menurut jurnal tersebut, taburan populasi orang utan dalam kawasan ladang kelapa sawit adalah bergantung kepada kewujudan hutan semulajadi dan pokok-pokok lain.

Penyelidikan turut mendapatikebarangkalian pekerja ladang sawit terjumpa orang utan dalam landskap agroindustri berkenaan di Sabah adalah agak tinggi.

“Peratusan responden boleh dipercayai (90 peratus) yang melaporkan mereka terjumpa orang utan di ladang kelapa sawit di sini adalah agak tinggi berbanding jumlah yang pernah terserempak dengan haiwan yang sama di hutan Kalimantan (42 peratus),” tambah jurnal itu.

Seperti yang dinyatakan dalam jurnal tersebut, orang utan kelihatan lebih berdaya tahan dalam berdepan situasi perubahan habitat. – MalaysiaGazette