Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pahang bersetuju membiaya kos rawatan penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri di Sultan Ahmad Shah Medical Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM) di sini berkuat kuasa mulai April tahun ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat sebulat suara menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang pada 3 April lalu.

Ia merupakan inisiatif kerajaan negeri secara berterusan dalam memastikan kebajikan penjawat awam terus dijaga.

“Pembiayaan kos rawatan ini meliputi penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan penanggungan 100 peratus bil rawatan ubat khas, ubat non-formulary (NF) dan implant,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pembiayaan kos rawatan bagi kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pihak Berkuasa Berkanun (PBB) yang turut meliputi penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan penanggungan 100 peratus bil rawatan ubat khas, ubat non-formulary (NF) dan implant adalah ditanggung agensi masing-masing.

Keputusan tersebut secara langsung dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di hospital dan juga klinik-klinik kerajaan.

“Saya mengharapkan menerusi pembiayaan ini, penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri dapat menggunakan perkhidmatan rawatan kesihatan di SASMEC@IIUM dengan sebaik-baiknya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast