KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang didakwa telah membeli senjata api iaitu sepucuk pistol jenis untuk dijual kepada seorang warga Israel mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Klang hari ini.

Manakala pasangannya pula berdepan dengan dakwaan telah berada bersama isterinya yang menimbulkan anggapan munasabah dia mengetahui isterinya memiliki pistol berkenaan.

Kedua-dua mereka yang mengangguk tanda faham ketika kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kemudian mohon dibicarakan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar sebentar tadi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, Syarifah Farahah Syed Hussin, 41, yang merupakan penganggur telah didapati memiliki senjata api yang menyalahi undang-undang iaitu pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER dan telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

Manakala tertuduh kedua iaitu suaminya, Abdul Azim Mohamad Yasin, 43, pula didakwa pada 29 Mac sekitar 8 malam di alamat no 183, Jalan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor telah didapati bersama OKT pertama (Syarifah Faraha) telah memiliki pistol jenis LUGER bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971.

Jika sabit salah kedua-dua tertuduh akan berdepan hukuman penjara selama 14 tahun dan sebat sekurang-kurangnya enam kali.

Pasangan itu juga tidak ditawarkan jaminan kerana kesalahan bawah akta senjata api yang tidak membenarkan sebarang jaminan.

Mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 11 Jun depan manakala kedua-dua tertuduh akan terus direman sehingga 11 April ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Berat dan Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Fauzeeyah Faik.

Seorang warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru pada 27 Mac lepas.

Hasil siasatan mendapati lelaki yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu, menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu menggunakan pasport warga Perancis, merancang membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Selepas penahan lelaki itu, polis kemudian memberkas pasangan suami isteri itu yang disyaki menjual enam senjata api kepadanya selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang dalam kereta milik pasangan terbabit.

Polis turut mengesahkan lelaki warga Israel terbabit turut disambung reman selama tujuh hari selepas reman sebelum ini tamat semalam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Suami isteri bekal senjata kepada warga Israel dituduh di mahkamah hari ini – KPN