Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyelaras tindakan bersepadu berkaitan isu kalimah Allah dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, adalah menjadi komitmen utama jabatan jabtan berkenaan untuk menjaga kesucian agama Islam dan maslahah umat Islam.

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas terbukti membuat tindakan yang menghina agama Islam.

“Pada masa sama, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihatkan semua pihak untuk sentiasa bertenang serta tidak mengambil apa-apa langkah melulu yang bertentangan dengan undangundang negara. Semua tindakan adalah berasaskan fakta dan bukti kukuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Na’im, adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk menjaga akhlak dan tingkah laku agar keharmonian dan perpaduan dalam negara sentiasa terpelihara.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menyerahkan proses selanjutnya kepada PDRM susulan pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn. Bhd, Datuk Seri Ng Chuan Hoo pagi tadi berkaitan isu dakwaan terdapat kalimah Allah pada kasut keluaran syarikatnya.

Jelasnya, Jakim telah diarah untuk memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam melengkapkan siasatan.

Tambah beliau, sekiranya terdapat elemen yang bertentangan dengan undang-undang, maka proses selanjutnya akan diambil oleh pihak polis.

“Semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada situasi ini agar ia tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette