PUTRAJAYA – Sikap prihatin rakyat Malaysia membela nasib rakyat Palestin bermula daripada pemimpin negara hingga bantahan daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan terhadap keganasan rejim Israel bukan perkara baharu.
Saban tahun ada sahaja bantuan kewangan akan disalurkan rakyat Malaysia menerusi pelbagai kaedah dan mengikut keperluan rakyat Palestin daripada keperluan asas seperti makanan, minuman dan perubatan hingga pendidikan.
Yayasan Restu dan Nasyrul Quran tidak terkecuali dalam memainkan peranan penting demi kelangsungan hidup umat Islam dan rakyat di negara Timur Tengah itu melalui Tabung Infak dan Wakaf 1 Juta al-Quran Edisi Khas Palestin.
Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norashikin Abdul Latiff berkata, dengan sumbangan serendah RM100, Yayasan Restu akan membiayai keperluan asas rakyat Palestin termasuk makanan, minuman, perubatan serta pembinaan semula negara.
“Dengan setiap infaq RM100, Yayasan Restu akan mengedarkan al-Quran Mushaf Palestin kepada masyarakat dunia untuk memberi pengajaran tentang isi kandungan al-Quran yang sebenar.
“Kita harap dengan pengajaran yang disediakan di setiap helaian huruf dan perkataan yang ditulis ini buat orang lebih faham tentang Islam.
“Sekarang ini terlalu banyak persepsi negatif terhadap Islam, bila kita edarkan dalam bentuk mudah, dengan saiz yang senang dipegang, tulisan mudah dibaca, terjemahan mudah dibaca, akhirnya orang lebih mudah faham Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Menurut beliau, di sebalik amalan wakaf itu, ada mesej tersirat yang cuba diketengahkan Yayasan Restu di mana al-Quran Mushaf Palestin terjemahan Bahasa Inggeris itu dihasilkan sendiri rakyat Malaysia agar mudah difahami dan diamalkan.
“Terjemahan Bahasa Inggeris yang kita gunakan di dalam al-Quran Palestin ini diterjemahkan rakyat Malaysia sendiri dan terjemahannya menggunakan Bahasa Inggeris mudah dan orang suka baca.
“Kita selalu baca al-Quran ini selalu dalam bentuk Bahasa Arab, ramai yang tidak faham, ada cerita-cerita tentang orang Yahudi dan Masjid al-Aqsa.
“Apa yang pentingnya semua orang yang terima al-Quran ini boleh membaca dengan mudah, faham apa yang dibaca, seterusnya boleh berfikir, tadabbur dan amalkan apa yang dibaca,” katanya.
Selain itu, katanya, al-Quran Mushaf Palestin agak unik di mana di sekeliling muka surat, atas dan bawah lembaran dihiasi dengan pelbagai motif manakala di sebelah belakang pula diletakkan penerangan tentang zukhruf.
“Setiap juzuk kita hiasi dengan setiap daerah di Palestin, kita ambil bunga dan seni bina mereka. Setiap daerah di Palestin dizahirkan sama ada dijajah ataupun tidak dengan harapan menjadi satu doa supaya satu hari nanti Palestin disatukan kembali,” katanya.
Menurutnya, meskipun Yayasan Restu menghantar antara 14,000 hingga 20,000 naskhah al-Quran bagi setiap kontena namun jumlah itu masih mencukupi kerana permintaan masyarakat dunia sangat tinggi ketika ini.
“Sekali kita jalan kontena, antara 14,000 ke 20,000 naskhah Quran bergantung kepada saiz al-Quran, kalau al-Quran Mandarin dia tebal sikit.
“Kita hantar satu batch al-Quran ke Eropah dan Sweden, satu kontena tak mungkin cukup, kerana keperluannya sangat tinggi dan kita mendapat permintaan yang banyak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette