KUALA LUMPUR – Polis giat memburu dua suspek lelaki yang disyaki melakukan khianat menyimbah minyak petrol dan membakar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Sungai Kayu, Ara Damansara semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pengadu mengenai insiden khianat itu.
Mangsa lelaki berusia 56 tahun bekerja sebagai kontraktor meletakkan kereta jenis Toyota Hilux miliknya di situ dalam keadaan baik dan dikunci.
“Bagaimanapun pada 11.45 malam, dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di bahagian hadapan kereta itu dan terus menuang cecair disyaki petrol sebelum kereta itu terbakar.
“Semasa kejadian itu berlaku, mangsa tiada di dalam kereta dan pemeriksaan ke atas kamera litar tertutup di lokasi mendapati dua lelaki dilihat melakukan perbuatan khianat itu,” katanya ketika dihubungi tengah malam tadi.
Tambah Shahrulnizam, siasatan lanjut mendapati mangsa tidak pernah bermusuh dengan sesiapa serta tidak mengesyaki mana-mana pihak.
“Kertas siasatan dibuka bertindak atas aduan mangsa dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda,” katanya. – MalaysiaGazette