Ketua Perhubungan BARRA, Rohana Mohamad Nasir bercakap mengenai gerai-gerai kecil menghalang laluan pejalan kaki ketika tinjauan Malaysia Gazette di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 09 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Kehadiran secara meluas seperti cendawan tumbuh gerai-gerai serta ‘khemah haram’ tepi jalan di beberapa lokasi strategik tumpuan umum bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri mengundang tak tida puas hati para peniaga tempatan.

Menurut wakil Persatuan Pemborong Jalan Batu Kuala Lumpur (Barra), Datin Rohana Mohamad Nasir, para pemilik premis dan peniaga bimbang sejak menjelangnya Ramadan sehingga hari-hari terakhir sebelum tiba 1 Syawal, lebih banyak gerai-gerai kecil dengan kebanyakan tanpa lesen sudah memenuhi ruangan kedai.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Rohana berkata, banyak khemah bazar Ramadan yang wujud di hadapan dan belakang setiap pintu masuk sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman menutupi kesemua laluan kecemasan dan ia tidak mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Barra bersama Masjid India Bussiness Association (Miba) telah beberapa kali membuat aduan kepada Datuk Bandar Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga Menteri Wilayah Persekutuan berkaitan gerai-gerai ini serta implikasi namun tidak ada sebarang tindak balas positif.

“Ada juga dakwaan beberapa premis perniagaan telah dikunjungi oleh beberapa anggota beruniform penguatkuasa DBKL yang tawar sewa khemah sementara di kaki-kaki lima premis perniagaan untuk lima hari. Kita telah buat aduan kepada semua pihak berwajib termasuk DBKL dan SPRM, kini dalam siasatan.

“Bayaran sewaan ini juga tidak mempunyai resit rasmi dan tanpa lesen perniagaan. Sememangnya isu seperti ini sangatlah membimbangkan namun lebih menakutkan apabila langsung tidak ada tindakan kerana tindak tanduk seperti ini akan mengundang kepada isu rasuah dan sebagainya,” katanya kepada kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Rohana lagi, pihaknya juga mendapat pengesahan berhubung perkara itu daripada Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL bahawa tidak khemah perniagaan dibenarkan berniaga di kaki lima.

“Sebenarnya ada juga peniaga gerai tidak bersetuju dengan kita apabila kita buat aduan terhadap mereka.

“Mereka hanya mahu berniaga sepanjang Ramadan sahaja namun ia mendapat tentangan. Bukan kita tak kasihan pada mereka namun tindakan tanpa lesen atau haram pastinya menyebabkan peniaga itu berdepan masalah-masalah lain.

“Kita minta pihak berwajib cari tempat lebih strategik untuk kumpulan peniaga gerai ini di lokasi lain jadi mereka juga tidak perlu susah, lari setiap kali adanya penguatkuasa dan sebagainya. Berdepan dengan denda serta tindakan lain, lagi kasihan.

“Para penjaja dan peniaga perlu diberikan peluang, ruang yang kekal untuk jamin masa depan serta naik sosio ekonomi, konsep gerai sementara sebenarnya sudah tidak lagi relevan selain hanya galakan amalan rasuah,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast