Lori sampah brek gagal berfungsi telah merempuh 14 kenderaan lain dalam nahas di Klang semalam.

KUALA LUMPUR – Sebuah lori sampah yang dipercayai mengalami masalah brek gagal berfungsi telah merempuh 14 kenderaan dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat dekat Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shapadu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, semasa kejadian lori sampah berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Shah Alam menuju ke Kapar, Klang.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang Selasa melibatkan sebuah lori sampah yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun dan 14 kenderaan lain.

“Ketika kejadian, kesemua kenderaan itu dipercayai sedang menunggu lampu isyarat di simpang jalan tersebut sebelum secara tiba-tiba lori sampah terbabit merempuh 14 kenderaan yang berada di simpang lampu isyarat itu.

“Siasatan awal polis mendapati, pemandu berkenaan mendakwa kononnya lori sampah yang dipandunya telah mengalami masalah brek gagal berfungsi dan tidak dapat dikawal sebelum merempuh kenderaan-kenderaan di hadapannya,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Tambah beliau, lori sampah itu akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer kenderaan (Puspakom) untuk diperiksa lanjut dan mendapatkan lapora bagi membantu siasatan lanjut polis.

Katanya, bagaimanapun dalam kejadian itu pemandu lori sampah itu dan kesemua pemandu serta penumpang 14 kenderaan yang dalam kemalangan berkenaan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Justeru, pemandu lori sampah itu dilibatkan dalam ujian saringan air kencing tetapi keputusan mendapati dia bebas dari sebarang pengaruh dadah.

“Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tegasnya, polis sedang meneruskan siasatan lanjut berkaitan kejadian itu dan akan merakam keterangan daripada pemandu lori sampah untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang telah melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta agar segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327 untuk membantu kes,” katanya lagi.

Semalam, satu video yang memaparkan tentang kemalangan melibatkan sebuah lori sampah serta beberapa buah kenderaan di persimpangan berdekatan Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shapadu tular di media sosial.-MalaysiaGazette