Steven Sim hadir ke HRD Corp bersama timbalannya, Abdul Rahman ditemani Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood pada satu majlis baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong visi Menteri Sumber Manusia untuk pekerja Malaysia.

Steven telah memperkenalkan fokus 3K dalam Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan.

Inisiatif HRD Corp yang dilaksanakan dalam menyokong visi 100 Hari Menteri Sumber Manusia adalah pelaksanaan National Training Week (NTW) 2024 untuk meneruskan usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia melalui peluang pembangunan kemahiran dan pengetahuan percuma.

“NTW 2024 menetapkan sasaran lebih besar dengan 150,000 pendaftaran di seluruh negara, dengan tumpuan kepada program latihan percuma dalam lima teras yang dipilih berdasarkan keperluan bakat dan industri Malaysia iaitu kemahiran hidup, kemahiran masa depan, kreativiti dan inovasi, kewangan dan pembangunan mampan.

“Usaha untuk meningkatkan kemahiran dan mewujudkan peluang pendapatan komuniti tempatan melalui kerjasama dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS),” kata HRD Corp dalam satu kenyataan.

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara HRD Corp dan UTS adalah untuk membangun serta mewujudkan pelbagai program latihan dalam kemahiran teknikal seperti Kemahiran Pendawaian Wayar dan Pemasangan dan Teknologi Rumah Pintar dan Kemahiran Keusahawanan untuk komuniti rentan di Sibu dan kawasan sekitarnya.

Usaha untuk menyediakan program latihan kepada semua lapisan masyarakat dengan tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan serdehana (PMKS) dan masyarakat daripada komuniti yang terpinggir menerusi Program Latihan MADANI (PLM).

PLM adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Belanjawan 2024, sebagai langkah memperluaskan akses pembangunan dan latihan, khusus untuk pekerja PMKS, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pesara, bekas pesalah dan komuniti B40.

“Usaha untuk memberikan ruang kepada rakyat Malaysia untuk mengambil kursus berkualiti antarabangsa menerusi kerjasama dengan 13 penyedia latihan dalam talian terkemuka dunia seperti Google, Microsoft, LinkedIn, Alibaba Cloud dan sebagainya.

“MoU dengan 13 syarikat antarabangsa dan tempatan membolehkan platform e-LATiH yang diperkenalkan HRD Corp untuk menawarkan lebih daripada 160,000 kursus pembelajaran dalam talian yang dinamik kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata kenyataan yang sama.

Selain daripada itu, KESUMA dan HRD Corp juga bertekad untuk memastikan bahawa e-LATiH mencapai satu juta pengguna yang baru dan tiga juta penyertaan kursus latihan dalam masa lima tahun.

Penambahbaikan kepada Skim Kemudahan Latihan & Pengubahsuaian (ALAT) dengan meningkatkan bantuan kewangan yang dibenarkan dari 30% kepada 50 peratus.

ALAT adalah skim yang membolehkan majikan menggunakan levi mereka untuk membiayai pembelian bantuan latihan atau menubuhkan, menaik taraf dan menambahbaik bilik latihan. Ini bertujuan untuk menggalakkan majikan menjalankan program latihan dalaman dan pembangunan kemahiran mereka sendiri.

Selain itu, penambahbaikan kepada Skim Latihan Industri (ITS) dengan meningkatkan bantuan kewangan yang dibenarkan dari 20 peratus kepada 50 peratus.

ITS adalah skim yang membolehkan majikan menggunakan baki levi mereka untuk menaja pelajar kolej, universiti dan institusi latihan yang sedang menjalani latihan industri di syarikat mereka.

Inisiatif penambahbaikan kepada ITS juga adalah salah satu komponen daripada Program Insentif Latihan Amali (ILHAM) KESUMA untuk mewujudkan ekosistem komprehensif dalam memupuk bakat muda tempatan untuk jangka panjang.

Bagi memperkukuhkan tadbir urus korporat HRD Corp yang telus, berintegriti dan cekap menerusi pengasingan Jawatankuasa Risiko dan Audit kepada dua jawatankuasa.

Penerimaan pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) selaras dengan mandat Menteri Sumber Manusia untuk memastikan semua jabatan dan agensi di bawah KESUMA mendapatkan ABMS bagi mewujudkan tatakelola baik.

Jalinan kerjasama antara HRD Corp dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi merealisasikan Program Pembangunan Integriti Korporat (CIDP).

“Melalui CIDP, kedua-dua entiti ini sepakat untuk bersama-sama menjalankan misi penyediaan pengetahuan dan kemahiran yang menyeluruh kepada tenaga pengajar dan penyedia latihan yang berdaftar di bawah HRD Corp.

“Fokus CIDP adalah terhadap aspek integriti, tata kelola, liabiliti korporat dan inisiatif antirasuah yang strategik. Program ini akan menjadi mandatori bagi semua penyedia latihan yang berdaftar,” katanya. – MalaysiaGazette