AMPANG – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir menyantuni pesakit dan petugas di Hospital Ampang sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Azlin Hezri yang turut menyampaikan sumbangan duit raya serta kuih muih kepada pesakit di hospital tersebut.
Kehadiran beliau juga mengundang emosi dalam kalangan pesakit terutamanya yang beragama Islam kerana sambutan hari raya mereka tidak semeriah sebelum ini kerana terpaksa ditahan di wad.
Ada juga kelihatan bercakap dengan penuh emosi dengan Dr Dzulkefly.
Ketika ditemui media berkata, beliau mendoakan supaya mereka tabah menghadapi ujian dan sembuh dengan segera.
“Saya sendiri terharu melihat pesakit-pesakit ini namun bagi yang kurang sihat, mungkin sambutan tidak semeriah dulu namun kita sama-sama doakan semua akan sembuh seperti sediakala,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan atas usaha dan pengorbanan mereka.
“Kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan petugas barisan hadapan lain, saya ucap ribuan terima kasih kerana berkat usaha serta pengorbanan anda semua, perayaan-perayaan pada tahun ini termasuk Aidilfitri dapat diraikan di kampung halaman,” tambahnya. -MalaysiaGazette